INFO


PERUT! OH PERUT!




Berat badan terlampau? Kerap diserang sakit perut tanpa sebab? Atau sering berasa tidak selesa di bahagian perut?
Awas! Ia mungkin petanda awal kepada penyakit lain yang merbahaya kepada anda.

Makanan merupakan keperluan asas pada manusia. Ia boleh mendatangkan kebaikan dan keburukan kepada manusia. Ini dibukti dengan hadis Rasullullah SAW yang bermaksud:

“Perut manusia itu tempat segala penyakit, manakala pencegahan itu pokok dari segala pengubatan.”
(Riwayat ad-Dailami)

Kini hanya dibuktikan dengan penemuan sains. Islam sejak dahulu mengajar manusia ke arah kebaikan melalui perantaraan Al-Quran dan Hadis.

Dalam soal pemakanan, Islam telah menggariskan beberapa panduan yang perlu diamalkan oleh seluruh umat manusia.


·                     Tabiat Makan

Sabda Rasullullah SAW yang bermaksud:

“Kami adalah satu kaum yang tidak akan makan kecuali apabila lapar dan apabila kami makan tidak sampai terlalu kenyang”
.
(Hadis Riwayat Abu Dawud)


·                     Sumber makanan yang HALAL

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Hak anak ke atas bapa ialah bapa hendaklah memberi nama yang baik, mengasuhnya dengan budi pekerti yang baik, mengajarnya menulis, berenang dan memanah. Janganlah berikan kepadanya rezeki selain yang baik (halal) dan hendaklah mengahwinkannya apabila telah layak berkahwin”.
(Hadis Riwayat Hakim)


·                     Adab makan

Rasullullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Bacalah Bismillah (jika kamu hendak makan), dan makanlah dengan tangan kananmu, dan ambillah makanan yang terdekat”.
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)


·                     Makan berlebihan dan pembaziran

Firman Allah SWT yang maksudnya:

"Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu Yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat Ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; Sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas." 


Rasullullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Orang mukmin itu makan menggunakan sebuah perut; sedangkan orang kafir itu makan dengan menggunakan tujuh buah perut.”
(Hadis Riwayat Bukhari)


Menurut Tarmizi, Imam Ahmad, Ibn Majah dan an-Nasai, Rasullullah SAW bersabda yang maksudnya:

“Tidak ada bekas yang diisikan oleh anak Adam yang lebih keji daripada perut. Cukuplah bagi anak Adam dengan beberapa suapan yang membetulkan tulang belakangnya. Dan sekiranya ia terpaksa melakukannya juga maka satu pertiga untuk makanannya, satu pertiga untuk minumannya dan satu pertiga untuk nafasnya.”


Dari Ibnu Umar RA, suatu ketika seorang lelaki bersendawa (keluar bunyi dari mulut kerana kekenyangan) di rumah Rasullullah SAW, kemudian baginda bersabda: 


“Hentikanlah sendawamu dari kami, sesungguhnya orang yang akan mengalami kelaparan yang panjang pada Hari Kiamat adalah mereka yang paling kenyang di dunia”.


Dari Ju’dah RA, sesungguhnya Rasulullah SAW suatu ketika melihat seorang lelaki dengan perut membuncit, kemudian baginda menunjuk (ke arah perut) dengan jarinya sambil bersabda:

“Seandainya ini (isi perut) berada tidak di tempat ini, maka tentunya akan lebih baik bagimu.”


Kesimpulannya, kenyang mengandungi banyak kemudaratan berbanding manfaat. Menurut Imam Ghazali di dalam Ihya Ulumuddin, kekenyangan menyebabkan hawa nafsu bergelora dan akhirnya tubuh badan diserang penyakit. Oleh itu, kita harus mendisiplinkan diri dengan peraturan dan ketertiban pemakanan yang seimbang.


Wallahu ta'ala a'lam.


No comments:

Post a Comment